Setiausaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia, Mae Chen. FOTO File NSTP
Setiausaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia, Mae Chen. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


AKHIRNYA usaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) untuk membenarkan aktiviti kolam kembali beroperasi berhasil selepas beberapa kali membentangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setiausahanya, Mae Chen ketika dihubungi meluahkan rasa lega dan gembira di atas kebenaran yang diberikan itu.

"Sudah beberapa kali Asum, MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) membuat SOP namun ditolak tapi kami terus berusaha untuk menyediakan SOP terbaik agar dapat menghentikan virus itu daripada menular," katanya.

Bagaimanapun Mae Chen berkata, buat ketika ini kesemua atlet kebangsaan dan pelapis perlu berlatih di tempat masing-masing terlebih dulu berikutan kemudahan di Bukit Jalil digunakan oleh atlet di bawah Program Road To Tokyo (RTT).

"Bagi atlet kebangsaan dan pelapis, Asum akan berbincang dengan MSN dan bila semua dan bersedia kami akan panggil mereka semua kembali dan berkemungkinan akan bermula Julai ini.

"Jadi buat setakat ini mereka boleh menggunakan kemudahan di luar selepas ia sudah dibenarkan oleh kerajaan," katanya.

Ujian kualiti air setiap dua jam antara SOP yang dicadangkan dalam perbincangan antara KBS bersama pemegang taruh utama sukan renang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 9:09 PM