Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO File NSTP
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan keputusan ujian swab Covid-19 buat kali kedua untuk program Road To Tokyo (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi adalah negatif.

Ia membabitkan seramai 38 atlet, jurulatih, atlet sepelatih, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains sukan dan perubatan sukan di ABM dan 24 peserta di Langkawi yang menjalani ujian kedua itu pada 5 Jun.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, hampir keseluruhan keputusan ujian swab kali pertama di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil bermula 8 Jun lalu juga sudah diketahui.

"Seramai 143 orang atlet, jurulatih, atlet sepelatih, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan terbabit di dalam Kem Latihan Pusat Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

"Seramai 132 orang peserta kem yang mendaftar pada hari pertama 8 Jun sudah menjalani ujian swab untuk Covid-19 semasa sesi pendaftaran itu.

"Berdasarkan keputusan yang diperolehi daripada makmal perubatan BP Healthcare pada hari ini, sukacita dimaklumkan bahawa keputusan untuk ujian Covid-19 di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil yang membabitkan 132 orang peserta kem adalah negatif," katanya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama katanya, seramai 11 orang peserta menjalani ujian swab Covid-19 pada 9 Jun kerana melapor diri pada lewat petang 8 Jun serta pagi 9 Jun dan keputusan ujian swab bagi kumpulan atlet dan pegawai ini masih belum di peroleh.

"Sebagai makluman juga semua atlet di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan memulakan latihan pada 11 Jun 2020.

Semua sesi latihan ini akan mematuhi SOP yang disediakan untuk dipatuhi oleh semua atlet, jurulatih dan pegawai khidmat sokongan sains sukan dan perubatan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:51 PM