Khairul Anuar teruja dapat kembali berlatih di MSN.
Khairul Anuar teruja dapat kembali berlatih di MSN.
Oleh Aida Adilah Mat


ATLET memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengakui teruja dapat kembali menjalani latihan di kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) biarpun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Dia yang hadir melapor diri pada hari pertama kem latihan di MSN di bawah Program Road To Tokyo semalam berkata, apa yang penting adalah kembali fokus kepada latihan selepas tiga bulan dipaksa berehat.

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia itu mengakui rindu kembali berlatih selepas hanya membuat latihan fizikal dan panah di rumah.

"Berhubung dengan SOP, bersedia atau tidak kita perlu fokus kepada latihan, SOP yang ketat itu demi kebaikan semua pihak.

"Ketika ini tiada jadual baharu diberikan jurulatih. Kebiasaannya kami shooting dalam masa seminggu untuk mendapatkan balik rentak.

"Kemudian fokus kepada latihan jarak dekat sebelum memberi tumpuan kepada jarak sebenar," katanya.

Selain Khairul Anuar, turut melaporkan diri di kem latihan pusat ialah Mohd Haziq Kamaruddin, Mohd Zarif Syahir dan Akmal Norhasrin.

Khairul Anuar melakar sejarah dalam sukan memanah negara apabila membawa pulang pingat perak di Kejohanan Dunia selain menempah tiket individu untuk Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 28 tahun itu bakal membuat penampilan ketiga berturut-turut di temasya terbesar selepas London dan Rio itu kini berusaha memburu slot dalam acara pasukan.

Kini hanya ada satu lagi peluang buat atlet memanah negara melayakkan diri ke Olimpik iaitu dengan menyertai kejohanan kelayakan terakhir di Berlin, Jerman.

Fokus utama skuad memanah ketika ini mahu memburu tempat dalam acara berpasukan. Untuk layak ke Tokyo, trio negara perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 7:01 AM