EX5 kesayangan Pa’din yang hilang di Jalan  Seri Serdang, Kepala Batas.
EX5 kesayangan Pa’din yang hilang di Jalan Seri Serdang, Kepala Batas.
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA papan selaju negara, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa'din berasa kecewa apabila motosikal kesayangannya, Honda EX5 dicuri petang tadi.

Ahmad Fadzil yang mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan di kejohanan peringkat antarabangsa menyedari kehilangan motosikal berkenaan sekitar jam 1.50 hingga 2.45 petang tadi.

Beliau memuatnaik status di akaun Facebook, Pa'din Musa bahawa kejadian berkenaan berlaku di Jalan Seri Serdang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Dukacita dimaklumkan, EX5 aku hilang dicuri lebih kurang jam 1.50pm hingga 2.45pm di Jalan Seri Serdang, Kepala Batas.

"Ditinggalkan sebentar sebab pi makan tengahari. Walaupun harga tak seberapa tapi harap kalau ternampak bolehlah roger dan harap boleh share2 di group2 berkaitan. Terima kasehh semua," katanya di laman sosial berkenaan.

Plat pendaftaran motosikal berkenaan berdasarkan gambar yang dimuatnaiknya ialah PCN 8084.

KEMAHIRAN Pa'din menghasilkan dua pingat emas di Asian X Games  pada 2000 dan 2004.
KEMAHIRAN Pa'din menghasilkan dua pingat emas di Asian X Games pada 2000 dan 2004.

Ahmad Fadzil, 44, mencipta sejarah dalam sukan papan selaju negara ini apabila mempunyai kasut 'signature colorway' profesional untuk papan selaju keluaran syarikat Amerika Syarikat, Vans.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu muncul atlet papan selaju paling berjaya di Malaysia apabila melakar sejarah memenangi dua pingat emas kejohanan sukan lasak Asian X Games pada 2000 di Phuket dan 2004 di Kuala Lumpur.

Beliau juga satu-satunya peserta negara yang bersaing di Summer X Games di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2004. Papan selaju buat kali pertama akan dipertandingkan di Sukan Olimpik 2020 tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 5:48 PM