Muhamaad Razis Ismail


BERHIJAB bukan halangan buat gadis ini untuk terbabit dengan sukan lasak seperti papan selaju yang didominasi lelaki.

Nurdiyana Athirah Kamarul Ariffin, 21, berjaya mengubah persepsi itu apabila terbabit dengan sukan itu sejak berusia 15 tahun.

Dia membuktikan kemampuannya dengan melakukan pelbagai gerakan sukar sehingga mampu memenangi banyak pertandingan.

Kemampuannya membuat lompatan tujuh anak tangga dengan papan selaju, gadis berasal dari Selangor ini membuktikan dia mampu pergi lebih jauh.

Jadi, tidak hairanlah dengan bakat yang dimiliki dia mendapat tajaan kemeja-T dari jenama pakaian tempatan, Fluffy Spikey dan terpilih menyertai jelajah ke beberapa negeri anjuran Girls Skate Community.

Anak kelima daripada tujuh beradik ini mengakui minat terhadap papan selaju tercetus selepas sering melihat rakan bermain pada setiap petang.

Katanya, dia tertarik mencuba sehingga timbul minat untuk belajar mengimbangkan badan ketika meluncur di atas papan selaju itu.

"Setiap malam saya tengok di YouTube atau beberapa saluran Internet lain cara-cara untuk imbangkan badan. Selepas sebulan, saya membuat keputusan untuk beli papan selaju sendiri dan mula bermain.

"Saya sempat bermain selama tiga bulan sebelum berhenti selama lebih dua tahun untuk fokus kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ANTARA gerakan menarik yang mampu dilakukan.
ANTARA gerakan menarik yang mampu dilakukan.

"Kemudian selepas menyambung pengajian di Politeknik Merlimau, Melaka, saya kembali bermain papan selaju bersama rakan baru di sana sehingga kini," katanya yang sedang menjalani latihan amali di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, sepanjang terbabit dengan aktiviti itu, dia pernah terseliuh kaki sehingga terpaksa berehat selama tiga bulan.

"Ketika itu saya cuba membuat lompatan empat anak tangga sebelum terjatuh sehingga mengalami kecederaan di kaki. Selain itu saya pernah alami bengkak di lutut dan lebam.

"Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat untuk terus melakukan aktiviti ini dengan sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.

SUKAN papan luncur dapat membina keyakinan diri.
SUKAN papan luncur dapat membina keyakinan diri.

Dia mengakui pada mulanya, keluarga agak sukar untuk menerima pembabitannya dalam sukan terbabit kerana bimbang dengan keselamatan.

"Bagaimanapun selepas melihat saya serius dengan aktiviti ini, lama-kelamaan mereka dapat menerimanya dengan baik.

"Biasanya, keluarga yang akan menghantar saya pergi ke gelanggang papan selaju. Itu menunjukkan sokongan mereka terhadap saya," katanya.

Pada awal pembabitannya dengan sukan papan luncur, masih tidak ramai wanita terbabit dengan aktiviti itu kerana masih ramai beranggapan aktiviti ini dikhususkan untuk lelaki sahaja.

"Selain itu, mereka juga takut mencuba benda baru dan bimbang dipandang serong masyarakat serta kurang mendapat sokongan daripada keluarga.

 MAHU menjadi contoh dalam kalangan wanita di negara ini.
MAHU menjadi contoh dalam kalangan wanita di negara ini.

"Bagaimanapun kini keadaan sudah berubah, apabila sudah ramai wanita terbabit dengan sukan ini sekali gus dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan lasak ini," katanya.

Selain untuk mengisi masa lapang, Nurdiyana aktif menyertai pertandingan papan selaju yang dianjurkan secara dalam talian.

"Saya hanya perlu membuat video dan menghantarnya ke Instagram untuk dinilai.

"Alhamdulillah saya berjaya menangi banyak pertandingan dengan menerima set penuh papan selaju dan kasut dari legenda papan selaju negara, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa'din," katanya.

ANTARA rakan peluncur papan selaju.
ANTARA rakan peluncur papan selaju.

Tambahnya, menerusi cara itu dia dapat menambah keyakinan diri dan sentiasa bermotivasi untuk melakukan setiap 'trick'.

"Selain itu, saya perlu mempunyai fikiran yang positif supaya dapat mengekalkan keyakinan diri ketika melakukan aktiviti lasak,

" katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Nurdiyana berkata, dia akan terus berlatih untuk memperbaiki serta memperkemas teknik sedia ada menjadi lebih baik.

"Saya mahu menjadi contoh untuk semua wanita di negara ini supaya bersama-sama melakukan aktiviti lasak ini seperti peluncur papan selaju di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:02 AM