KHABIB menghabiskan masa bersama keluarga dan beribadat di masjid sepanjang Ramadan. FOTO Agensi
KHABIB menghabiskan masa bersama keluarga dan beribadat di masjid sepanjang Ramadan. FOTO Agensi
Susunan Ferzalfie Fauzi


REKOD kemenangan 28 kali berturut-turut dan paling lama dalam seni bela diri campuran (MMA), tidak semurni dengan kemuliaan Khabib Nurmagomedov setiap kali tibanya Ramadan.

Atlet yang terkenal di gelanggang Ultimate Fight Championship (UFC) itu lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan kedua-dua ibu bapanya sepanjang bulan penuh rahmat ini.

Khabib memang dikenali sebagai seorang atlet Muslim yang taat pada perintah agama dan ketika di bulan mulia ini dia lebih banyak menghabiskan waktu di masjid sekitar perkampungannya.

Menurut atlet kelahiran Russia berusia 31 tahun itu, segala amalan di bulan Ramadan menjadi kunci untuk mendapatkan tiket ke syurga.

"Saya pergi ke masjid, berdoa, dan berpuasa penuh," kata Khabib yang juga penyokong kelab bola sepak Anzhi Makhachkala, Real Madrid dan Liverpool.

Ketika menjalani ibadah puasa, Khabib terpaksa mengubah sesi latihannya. Dia cuba untuk menjauhkan diri daripada pertarungan dan mengelak melakukan latihan berat sepanjang Ramadan.

"Saya hanya melakukan latihan ringan. Selama berpuasa, anda tidak makan dan minum sepanjang hari. Ia mudah untuk mendapatkan kecederaan," katanya.

Khabib cuba untuk mengurangkan hentakan ataupun tumbukan bersama rakan sepelatih, ada kalanya dia hanya berlatih sendirian di bulan Ramadan.

Disebabkan itu, apabila berakhirnya bulan yang penuh barakah, dia akan mengambil masa sekurang-kurangnya separuh bulan untuk kembali kepada keadaan fizikal serta tahap kecergasan asal.

"Saya memerlukan latihan minimum 45 hari untuk kembali ke gelanggang dan memulakan pertarungan. Ketika itu banyak perkara perlu diubah seperti dari segi pemakanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 11:54 PM