DIAZ kumpul dana untuk membeli makanan kepada keluarga yang terjejas akibat Covid-19. FOTO Agensi
DIAZ kumpul dana untuk membeli makanan kepada keluarga yang terjejas akibat Covid-19. FOTO Agensi
AFP

BINTANG angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz menyedari konsert siaran langsung di media sosial mampu meraih sumbangan untuk mangsa Covid-19 dan dia mendapat inspirasi untuk mengumpul dana dengan melakukan latihan kecergasan atas talian.

Sejak dari itu pemenang pingat perak Olimpik ini berjaya mengumpul wang untuk membeli beratus pek makanan kepada keluarga yang terjejas akibat wabak berkenaan di Filipina.

Diaz melakukan semuanya dari Malaysia, ketika dia berlatih untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo tatkala kebanyakan negara melakukan perintah berkurung sejak 4 Mac lalu.

"Saya rasa sumbangan ini sukar dilakukan kerana saya secara fizikal tidak berada di lokasi.

"Bagaimanapun, saya harus mempercayai rakan dan keluarga yang memahami kenapa saya perlu melakukan kutipan dana," kata Diaz, 29, kepada AFP.

Peminatnya berjaya menyampaikan sumbangan berkenaan yang mengandungi sayur-sayuran, telur dan nasi kepada 400 keluarga.

Makanan itu dibeli hasil sumbangan 50 individu yang menyertai sesi latihannya selama tiga jam dan memberi mereka pengalaman menarik berlatih bersama atlet elit.

Diaz menjadi popular pada 2016 selepas melakukan kejutan meraih perak dalam kategori 53 kilogram di Rio, sekali gus menjadi atlet pertama wanita meraih pingat dan menamatkan kemarau pingat selama 20 tahun negara berkenaan.

Dua tahun lalu, dia meraih emas di Sukan Asia di Indonesia namun perjalanannya untuk melayakkan diri ke Tokyo tertangguh selepas temasya berkenaan di bawa ke tahun depan.

"Saya rasa semua kerja keras selama ini akan berakhir namun ia terpaksa dilanjutkan. Bagaimanapun saya masih bersyukur kerana dapat meneruskan latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 9:13 AM