AIMAN Farhan menunjukkan pas bermusim Melaka musim ini. FOTO Nazri Abu Bakar
AIMAN Farhan menunjukkan pas bermusim Melaka musim ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PEMEGANG kad bermusim pasukan Liga Super Melaka lega apabila pas mereka tidak lupus walau apapun status terbaru saingan Liga Malaysia (Liga M) samada aksi tanpa penyokong atau diadakan pada musim 2021.

Penyokong Razuan Rahman berkata, sememangnya langkah melanjutkan pas bermusim amat wajar berikutan hanya empat perlawanan berlangsung termasuk tanpa kehadiran penonton ketika aksi bertemu Pahang di Stadium Hang Jebat susulan pandemik Covid-19 Mac lalu.

Menurutnya, dia menyokong usaha positif dilakukan persatuan tidak kira samada pas berkenaan di ganti baharu, di lanjutkan tempoh atau langkah lain demi kebajikan penyokong yang sudah membeli pas bagi tempoh semusim.

"Tidak kira apa status sama ada baki liga disambung atau saingan liga baharu, apa yang penting pas yang sudah dibeli boleh dimanfaatkan untuk menyaksikan saingan Liga M.

"Malah kami membeli pas berkenaan juga bertujuan untuk membantu penjanaan pendapatan persatuan lebih awal menerusi hasil kutipan pembelian pas terbabit," katanya.

Aiman Farhan pula berkata, ada peminat yang belum sempat menggunakan kad berkenaan berikutan dua perlawanan awal berlangsung di luar Melaka dan satu perlawanan lagi tanpa penyokong, namun sebagai peminat sokongan tetap diberikan kepada persatuan.

Baginya, pemberian pas percuma kepada pemegang pas bermusim juga antara alternatif terbaik bagi memastikan kebajikan penyokong yang sudah memiliki kad berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pula berkata, penyokong tetap diberi keutamaan sebagai antara nadi kekuatan persatuan dan pasukan.

Katanya, pas percuma bagi menyaksikan Liga M musim depan dilihat menjadi pilihan pasukan sekiranya saingan musim ini terpaksa dibatalkan atau beraksi tanpa penyokong susulan pandemik Covid-19.

"Persatuan bersedia untuk memberikan pas bermusim secara percuma pada musim depan kepada pemegang pas 2020 tidak kira apa pakej yang dibeli sebelum ini termasuk kepada ahli gabungan sekiranya baki perlawanan tidak lagi dapat diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 6:15 PM