KDA FC kembali membuka akses masuk kepada semua pemegang kad OKU secara percuma. FOTO Ihsan KDA FC
KDA FC kembali membuka akses masuk kepada semua pemegang kad OKU secara percuma. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Golongan penyokong bola sepak daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) tetap dihargai dengan kemasukan secara percuma apabila hadir memberi sokongan padu buat skuad Kedah Darul Aman FC bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Aman.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Unit Perhubungan Awam KDA FC melalui kenyataan rasminya hari ini yang menjelaskan kemasukan penyokong daripada kalangan OKU yang memiliki kad OKU yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) akan menerima manfaat sewajarnya oleh pihak pengurusan ke Stadium Darul Aman.

"Semua sedia maklum, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada musim sebelum era pandemik terdahulu sentiasa peduli dengan semua isu membabitkan penyokong dan menguruskan penjualan tiket dan keselamatan dengan lebih sistematik termasuklah menguruskan akses masuk penyokong dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa sebarang isu.

"Namun, selepas perlawanan KDA FC dan Sabah FC baru-baru ini, beberapa tajuk berita portal dan media sosial tempatan mengeluarkan ulasan menjurus kepada persepsi negatif tanpa melihat rekod akses yang dikeluarkan sebelum ini.

"Untuk makluman, transisi peraturan kehadiran penyokong dari era prapandemik, pandemik dan ketika penyokong mula dibenarkan masuk telah membabitkan beberapa proses terutamanya dari segi akses yang cukup ketat," katanya.

KDA FC turut menjelaskan, hanya selepas kehadiran penyokong kembali kepada sistem asal pada musim 2022, pihak KDA FC kembali membuka akses masuk kepada semua pemegang kad OKU secara percuma ke semua zon dengan panduan yang telah ditetapkan.

"OKU berkerusi roda dibenarkan masuk secara percuma melalui pintu G1, Kawasan Grandstand, dengan seorang pengiring, manakala bagi golongan pemegang kad OKU dengan kategori lain juga dibenarkan akses masuk secara percuma di pintu, Teres dan Pavilion.

"Selain itu, OKU dikehendaki mempamerkan kad OKU yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan kad pengenalan untuk tujuan pengesahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 5:45 PM