ZARCO mempelajari teknik tunggangan Lorenzo ketika bersama Ducati. FOTO FB Johann Zarco
ZARCO mempelajari teknik tunggangan Lorenzo ketika bersama Ducati. FOTO FB Johann Zarco
Agensi

JOHANN Zarco mendedahkan dia menghabiskan masa sepanjang perintah berkurung di rumahnya di Avignon dengan mengkaji video Jorge Lorenzo ketika bersama Ducati.

Gaya tunggangan Zarco hampir sama dengan Lorenzo sekali gus menyaksikan kedua-duanya cemerlang ketika mengendalikan jentera Yamaha M1.

Selepas tiga kejuaraan dunia dan 44 kemenangan, Lorenzo meninggalkan pasukan pengeluar, Yamaha untuk ke Ducati pada 2017.

Selepas bergelut, pelumba Sepanyol itu berjaya meraih tiga kemenangan sebelum mengalami kecederaan dan berhijrah ke Honda.

Zarco pula meraih enam podium sepanjang dua musim bersama Tech3 Yamaha sebelum berdepan kekecewaan di KTM dan kini beraksi bersama Avintia Ducati.

“Bagi saya apabila bersama Ducati ketika ini amat menarik untuk melihat perubahan dilakukan Jorge Lorenzo. Dia mungkin salah seorang pelumba yang bergelut bersama Ducati tetapi kemudian mempamer aksi cemerlang.

“Bukan bermakna saya mahu mengikut jejak langkahnya tetapi amat menarik untuk melihat dan memahami apa yang dilakukan dan dipelajarinya. Bagi saya segala-galanya boleh dilakukan dan tidak perlu berasa panik,” katanya.

Zarco berkata, sesi ujian rasmi ketika di Sepang dan Losail menunjukkannya semakin serasi dengan jentera Ducati.

“Bermula daripada ujian pertama di Malaysia, Ducati memberitahu saya agar tidak berasa risau dan mereka percaya saya mampu melakukan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 11:20 AM