Apek dengan bungkusan gula Melaka sebelum di poskan kepada peminat dan pelanggan. FOTO Nazri Abu Bakar
Apek dengan bungkusan gula Melaka sebelum di poskan kepada peminat dan pelanggan. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PENJAGA gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih mesra disapa Apek kini aktif menjalankan perniagaan gula Melaka sepanjang saingan Liga Malaysia yang tertangguh susulan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Menurutnya, dia mula menjalankan perniagaan berkenaan sejak beberapa hari lalu dan mendapati sambutan amat menggalakkan daripada peminat di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei.

Katanya, ketika selesai menjalani latihan di rumah menerusi jadual yang diatur jurulatih dia mula terfikir apa yang perlu dilakukan untuk mengisi masa terluang dalam masa sama menjana pendapatan.

“Akhirnya saya mendapat idea memasarkan gula Melaka kepada orang ramai menerusi dalam talian di seluruh negara.

“Saya terkejut apabila pesanan pertama membabitkan 400 kilogram kepada peminat dan penggemar gula Melaka dengan harga RM23 sekilogram sahaja termasuk penghantaran,” kata bekas kapten dan penjaga gol kebangsaan itu.

Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. FOTO File NSTP
Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. FOTO File NSTP

Berikutan sambutan yang menggalakkan itu, dia terus aktif mengambil pesanan dan penghantaran menerusi pos laju sekali gus memudahkan ianya sampai terus kepada pelanggan.

Justeru kini, ianya menjadi rutin buatnya menyediakan bungkusan untuk penghantaran yang membabitkan pesanan di luar Melaka.

Selain menjalani latihan harian seperti yang dikemukakan jurulatih untuk mengekalkan stamina walaupun sudah lama tidak turun ke padang sepanjang PKP.

Katanya, dia berharap akan kembali menjalani latihan lebih agresif selepas tamat tempoh PKP nanti.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 6:48 PM