Pemain Melaka United Sony Norde (kanan) cuba melepasi halangan pemain Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
Pemain Melaka United Sony Norde (kanan) cuba melepasi halangan pemain Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Penang FC mempamerkan aksi garang selepas meraih kemenangan ke atas Melaka United (MU) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Keputusan terbabit menyaksikan mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut untuk muncul pencabar terkuat musim ini menerusi aksi menarik mereka terutama pada 45 minit pertama.

Kehadiran lebih 3,000 penyokong setia sedikit menyuntik semangat Melaka namun ianya tidak cukup untuk meraih mata maksimum.

Malah kekalahan kepada Johor Darul Ta"zim (JDT) minggu lalu masih belum cukup membangkitkan api perjuangan skuad itu walaupun peluang hadir seawal minit kedua menerusi percubaan Manuel Ott namun sekadar menggegar palang gol pelawat.

Dalam pada itu, Penang yang lebih tersusun mula mencipta peluang pada minit ke-20 namun rembatan Muhammad Al Hafiz mudah diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Gol pertama pelawat hadir menerusi rembatan kencang bekas penyerang Melaka, Anselmo Casagrande pada minit ke-39 sekali gus mengejutkan barisan tuan rumah.

Babak kedua memperlihatkan Penang terus mengganas selepas sekali lagi Casagrande meledak gol kedua pada minit ke-48 aksi.

Jaringan bermula daripada hantaran Muhammad Al Hafiz yang ditanduk ke belakang oleh Ryuji Prabowo menuju ke Casagrande yang mudah menewaskan Khairul Fahmi.

Ketinggalan dua gol, skuad Hang Tuah bijak menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain gantian Stefan Nikolic pada minit ke-62 selepas menyudahkan sepakan percuma S Kumaahran.

Selepas itu, mereka berusaha gigih menyamakan kedudukan namun setiap usaha Melaka gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat.

Kekalahan terbabit menambah derita buat Melaka selepas pemotongan tiga mata dan tewas 0-3 kepada JDT walaupun mereka cuba untuk bangkit pada aksi di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:19 PM