CHOONG Hann. FOTO Owee Ah Chun
CHOONG Hann. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat

BARISAN pemain badminton negara tetap kekal bermotivasi tinggi biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, setiap jurulatih di BAM berusaha mengaturkan program latihan paling mantap dan menggunakan segala kemudahan yang ada bagi memenuhi keperluan pemain.

Antara yang turut diberi perhatian ketika PKP ini adalah pendekatan psikologi terhadap pemain agar mereka terus bermotivasi.

Beliau berkata, BAM mengambil kesempatan dalam tempoh ini untuk menyerapkan program psikologi dengan memberi penekanan kepada atlet elit terlebih dulu.

“Biarpun kami tahu untuk psikologi ia memerlukan pertemuan empat mata tapi dalam keadaan sekarang BAM cuba melakukan apa yang boleh melalui platform yang ada.

“Kita akan bermula dengan kumpulan kecil untuk dekati pemain dan melihat sejauh mana penerimaan mereka melalui platfrom yang ada,” katanya.

Menurut Choong Hann lagi, berdasarkan kajian dilakukan 90 peratus pemain kekal positif dan mengikut arahan dari jurulatih masing-masing.

Bekas pemain negara itu berkata, ia mungkin kerana pemain memahami situasi sekarang dan melakukan apa saja aktiviti yang boleh dilakukan di rumah masing-masing.

Sementara itu, Choong Hann berkata, beliau masih belum menerima maklumat terkini berhubung sistem kelayakan ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

“Selepas BWF (Persekutuan Badminton Dunia) mengumumkan pembekuan ranking baru-baru ini, tiada maklumat baru diterima. BWF menjelaskan mereka memerlukan masa untuk mencari pendekatan yang adil dan kukuh untuk terus ke depan dalam menangani pemasalah Covid-19 ini. Jadi kita tunggu saja keputusan daripada mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:30 AM