Barisan pemain badminton negara mendengar amanat yang di sampaikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO BERNAMA
Barisan pemain badminton negara mendengar amanat yang di sampaikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Program persediaan ke Piala Thomas dan Uber akan dihentikan buat seketika sehinggalah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan tarikh baharu penganjuran acara berpasukan berprestij itu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, langkah itu bagi membolehkan setiap pemain fokus kepada perkara lain.

"Sementara ini kami akan menunggu tarikh baru yang akan diberitahu BWF. Jadi kami akan hentikan dahulu persediaan ke Piala Thomas.

"Supaya semua pemain iaitu barisan pemain BAM dan pemain profesional boleh kembali kepada rutin masing-masing. Tapi mereka perlu kekal fokus kepada pertandingan yang mana lebih dahulu akan dianjurkan.

"Contohnya kalau sudah pasti Sukan Olimpik akan dianjurkan dahulu maka setiap pemain perlu fokus kepada program Olimpik dahulu," katanya.

Bagaimanapun jelas Choong Hann barisan pemain profesional iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan terus menjalani latihan di BAM di bawah program Road To Tokyo (RTT).

"Mereka akan kekal menjalani latihan dua kali seminggu seperti dipersetujui," katanya.

Selasa lalu BWF membuat keputusan untuk menangguhkan kejohanan Piala Thomas dan Uber selepas perbincangan dan persetujuan dari tuan rumah, Denmark.

Keputusan itu dibuat selepas penarikan diri beberapa negara sebelum ini dan BWF sedang mengenal pasti tarikh alternatif bagi penjadualan semula kejohanan berpasukan lelaki dan wanita dunia ini tetapi pada tarikh sebelum 2021.

Piala Thomas dan Uber 2020 sepatutnya berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini namun beberapa negara mengambil keputusan menarik diri termasuk Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 2:11 PM