Bintang Brazil dan PSG, Neymar. FOTO File Agensi
Bintang Brazil dan PSG, Neymar. FOTO File Agensi
Agensi

NEYMAR dilaporkan memberitahu Paris Saint-Germain bahawa dia tidak mahu menandatangani kontrak baharu di kelab itu dan sebaliknya mahu menyertai semula Barcelona.

Bintang Brazil itu menjadi antara pemain paling mahal apabila berpindah dari Camp Nou ke Parc des Princes dengan perjanjian £198m (RM1.1 bilion) tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa spekulasi mengenai masa depannya di kelab gergasi Perancis itu sekali gus menguatkan dakwaan untuk kembali ke Sepanyol.

Barcelona kekal berminat untuk menandatangani semula Neymar untuk memastikan gabungan kembali yang mendapat jolokan gandingan 'MSN' iaitu Messi, Suarez dan Neymar.

Beberapa laporan baru-baru ini mencadangkan Neymar begitu terbuka untuk melanjutkan khidmatnya di ibu kota Perancis tetapi laporan dari Sepanyol, Sport mendakwa dia akan meminta perpindahan pada musim panas ini dan menolak sebarang usaha untuk mengikatnya dengan kontrak baharu.

Pemain berusia 28 tahun ketika ini mempunyai kontrak yang akan tamat pada 2022, tapi PSG sedar nilai perpindahan pemain itu akan berkurangan pada setiap tahun mendatang dan mungkin boleh mengaut keuntungan diatas penjualan pemain itu.

Laporan menyatakan juara Perancis yang baharu ditabalkan itu akan memberi tumpuan kepada masa depan seorang lagi bintang PSG, Kylian Mbappe yang akan tamat kontrak pada 2022.

Neymar kerap berdepan kecederaan ketika beraksi di PSG, namun mampu memberi sumbangan nyata menerusi 109 gol dengan hanya 80 penampilan bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 9:25 AM