Cheong Jun Hoong.
Cheong Jun Hoong.
Aida Adilah Mat


JUARA dunia terjun 2017, Cheong Jun Hoong khuatir faktor usia boleh membantutkan usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju menangguhkan temasya itu untuk tempoh setahun.

Menunggu tempoh itu bukan mudah terutama ketika dia masih lagi berusaha untuk layak ke temasya itudengan Kejohanan Terjun Dunia, kejohanan kelayakan terakhir buat penerjun yang sepatutnya berlangsung di Tokyo April ini turut ditunda.

Atlet berasal dari Perak yang akan berusia 30 tahun bulan depan itu bagaimanapun sedar masa tidak memihak kepadanya dengan pesaing utama jauh lebih muda daripadanya.

“Menunggu setahun lagi itu bermakna usia akan meningkat setahun lagi, badan saya sudah pasti dapat merasainya, tapi saya masih lagi akan berusaha untuk terus kekal di prestasi terbaik.

“Sama ada Olimpik tunda atau tidak saya akan pastikan sentiasa bersedia dan saya berharap semua akan kembali seperti biasa dengan keselamatan dan kesihatan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Jun Hoong berkata, pastinya penundaan temasya Olimpik itu satu keputusan berat untuk dibuat IOC sendiri.

Biarpun begitu dia tidak akan menyerah dengan segala usaha yang terbaik akan diberikan olehnya dalam mengejar impian beraksi di Olimpik selepas cemerlang menghadiah pingat perak di Olimpik dalam acara 10m seirama di Rio bersama Pandelela Rinong empat tahun lalu.

“Tak banyak yang boleh dikomen ketika ini kerana bagi saya memang keselamatan patut diutamakan. Virus Covid-19 kini sudah tersebar secara global dan sekarang ini perlu menunggu pengumuman untuk syarat kelayakan seterusnya.

“Saya harap semua akan beri kerjasama dan masalah ini dapat diatasi segera,” katanya yang terpaksa berehat lebih setahun kerana menjalani pembedahan lutut pada Jun 2018 sehingga terpaksa melupakan Sukan Asia Indonesia tahun itu.

Temasya Sukan Olimpik 2020 dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos sebelum kerajaan Jepun dan IOC mencapai kata sepakat untuk menangguhkannya sehingga tahun depan, ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:00 AM