TUCK (kiri) mengakui aksinya hanya sekadar mengisi masa terluang di rumah ketika tempoh PKP. FOTO AMRAN HAMID
TUCK (kiri) mengakui aksinya hanya sekadar mengisi masa terluang di rumah ketika tempoh PKP. FOTO AMRAN HAMID
Malik Muhamad


ARKITEK skuad Terengganu FC (TFC), Lee Tuck secara berseloroh mengharapkan peminat setia bola sepak skuad Penyu tidak terasa hati dengan cara dia melakukan ‘cabaran duduk rumah’ dengan menunjukkan bakat menimang segulung tisu tandas.

Katanya, cabaran yang dilakukan itu sebelum mengakhiri menimang tisu dengan aksi melucukan iaitu menggunakan punggung sebenarnya tidak dirancang dan hanya suka-suka selain berkongsi kemahiran yang ada dan bukannya berniat dengan tujuan lain.

Tambah pemain berdarah campuran Malaysia-England itu, cara berkenaan juga bukannya menjadi amalannya sebagai salah satu bentuk senaman sebaliknya juga salah satu untuk mengisi masa lapang di rumah.

“Tak lah.. haha..saya menimang tisu tandas ini hanya untuk suka suka saja.

“Peminat usah ambil hati dengan situasi itu, ia sekadar untuk mengisi masa terluang di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19,” ujar Tuck yang sudah memasuki musim ketiga menyarung jersi skuad Penyu.

Terdahulu gelagat pemain berusia 32 tahun itu yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2017 memuatnaik video dalam laman sosial menunjuk bakatnya menimang segulung tisu tandas pada 19 Mac lalu ditonton seramai 7,500 orang dan 1,105 tanda suka.

Ketika pandemik Covid-19 yang semakin menular di seluruh dunia, ramai bintang bola sepak dunia memperagakan bakat mereka dengan pelbagai cara di kediaman masing-masing.

Antaranya bintang Manchester United, Anthony Martial dan Bruno Fernandes yang juga menunjukkan kemahirannya dengan menimbang segulung tisu tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:42 PM