MISBUN bersama peserta Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung.
MISBUN bersama peserta Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung.
Noor Hidayah Tanzizi


LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek menasihati pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia supaya lebih tenang dan fokus ketika menentang bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi separuh akhir Seluruh England yang berlangsung petang ini.

"Viktor pernah menjadi juara dunia manakala pemain kita, Zii Jia baru nak naik dan dia seharusnya perlu lebih tenang dan lebih fokus untuk mencabar serta bersaing ketika bertemu Viktor.

"Untuk mengatasi Viktor, Zii Jia perlu memilih jalan bijaksana. Bermain sahaja dan ia (strategi perlawanan) akan kembang sendiri," kata Misbun ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung di Arena Badminton Manjung Lekir, Sitiawan, hari ini.

Misbun yang juga bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki negara yakin Zii Jia mempunyai peluang menewaskan Axelsen berdasarkan prestasi dan momentum dipamerkan dalam permainan sebelum ini.

Menurutnya, pencapaian pemain berusia 21 tahun itu mara ke separuh akhir juga sangat membanggakan kerana dia tidak beraksi pada kejohanan sama tahun lalu.

“Dia tidak bertanding dan tidak mendapat slot untuk bermain tahun lalu di sebabkan ranking. Apabila berpeluang beraksi di Seluruh England tahun ini, saya lihat corak permainan dia lebih bersemangat dan makin matang. Harap dia boleh mara ke peringkat akhir,” katanya.

Terdahulu, Zii Jia mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China 21-12, 12-18 manakala Axelsen yang turun selaku pilihan kedua mengatasi seorang lagi pemain China, Shi Yuqi 21-15, 21-17 dalam aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 12:44 PM