KLOPP
KLOPP
Agensi

LONDON: Juergen Klopp percaya sekalipun Liverpool menjuarai Piala FA Inggeris, ia tidak mampu menutup sesetengah mulut pengkritiknya.

Selepas mengharungi kekalahan pertama musim ini dalam kempen Liga Perdana, Reds akan membuat kunjungan sukar dalam kancah Piala FA menentang Wolves, awal pagi Selasa ini.

Sekalipun Liverpool melakar kebangkitan sejak kehadiran Klopp, mereka masih belum menjulang sebarang trofi selepas tewas pada final Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala Liga.

Justeru Klopp percaya jika skuad bimbingannya memenangi Piala FA, ia masih belum mencukupi sekalipun kelab itu berada di landasan untuk menamatkan penantian 29 tahun menjulang gelaran liga.

“Apabila orang bercakap dengan saya mengenai trofi, ia sentiasa nampak kami hampir untuk memenanginya,” kata pengendali kelahiran Jerman itu. “Jika kami memenangi Piala FA, orang akan bercakap kami sudah bertahun-tahun tidak menang Liga Perdana.

“Kami tidak boleh mengubah apa yang orang lain fikir. Kami perlu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang kami harungi dan setakat ini musim ini itulah yang pemain lakukan.”

Klopp dijangka membuat perubahan besar bagi kunjungan ke Wolves termasuk memberikan peluang buat Alberto Moreno.

Liverpool gagal mara melebihi pusingan keempat Piala FA sejak Klopp mengambil alih tugas selaku pengendali pada Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:47 PM