KLOPP mahu anak buahnya menewaskan pasukan terbaik di England. FOTO/AFP
KLOPP mahu anak buahnya menewaskan pasukan terbaik di England. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berkata beliau tidak pernah mahu membimbing pasukan terbaik sebaliknya lebih berminat untuk menewaskan yang terbaik.

Minggu lalu, Klopp berkata, skuad bimbingannya seperti watak Rocky Balboa apabila bertemu juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City - yang beliau labelkan seperti Ivan Drago, musuh utama Rocky dalam filem Rocky IV dalam perebutan kejuaraan liga musim ini.

“Jika pasukan itu lebih baik berbanding anda, cuba bersaing dan tewaskan mereka.

“Saya tidak pernah mempunyai impian untuk membimbing pasukan terbaik ketika menjadi pemain atau pengurus.

“Yang saya berminat adalah untuk menewaskan pasukan terbaik dan pasukan itu di England ketika ini adalah Manchester City. Bermakna pasukan lain tidak sehebat City.

“Matlamat utama adalah untuk menewaskan City sekerap yang mungkin,” katanya.

Klopp berkata, Liverpool berada dalam ‘liga’ yang dihuni enam pasukan terbaik untuk merebut empat tempat ke saingan Liga Juara-Juara sekali gus menjadikan tugas mereka lebih sukar.

Sementara itu, Klopp memuji penyokong Liverpool yang memberi sokongan padu ketika mereka mencatat kemenangan ke atas West Ham pada perlawanan pertama.

“Sejarah Liverpool sentiasa membabitkan persaingan dan apabila anda bersaing, ia bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Liverpool masih mencari trofi pertama mereka di bawah bimbingan Klopp selepas tewas di saingan Piala Liga, Liga Europa dan Liga Juara-Juara.

Klopp yang memasuki musim keempat sebagai pengurus Liverpool berkata, Anfield adalah kelab terbaik untuk beliau cuba melakar kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 12:58 PM