Pemain Lyon, Houssem Aouar meraikan jaringan penalti berdepan Nice. FOTO Reuters
Pemain Lyon, Houssem Aouar meraikan jaringan penalti berdepan Nice. FOTO Reuters
Reuters

LYON mengekalkan rekod tanpa kalah pada 2020 selepas jaringan penalti lewat permainan oleh Houssem Aouar memastikan kemenangan 2-1 di Nice pagi ini, sekali gus menempah slot suku akhir Piala Perancis.

Aouar menyempurnakan penalti dua minit sebelum tamat permainan selepas Adam Ounas menyamakan kedudukan seminit sebelum itu.

Jaringan pembukaan Lyon dihasilkan Moussa Dembele pada separuh masa pertama.

Lyon akan berdepan Marseille untuk pemburuan slot empat terakhir dengan pendahulu Ligue 1, Paris St Germain berkunjung ke Dijon dan kelab divisyen empat, Belfort melayan kunjungan penyandang juara, Stade Rennais.

Di Nice, Dembele kembali menemui sentuhan jaringan pada minit ke 15 selepas meledak gol hasil sepakan sudut Maxwel Cornet, sehingga rembatan jarak jauh Ounas memastikan kedudukan 1-1.

Dante bagaimanapun menjatuhkan pemain gantian Karl Toko-Ekambi di kawasan kotak penalti dan Aouar tidak mempersia-siakan peluang mendahului untuk memberikan Lyon kemenangan ke enam dalam tujuh perlawanan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 8:10 AM