CULEY menamatkan perlumbaan di Bukit Jugra sebagai juara peringkat. — FOTO Tour de Selangor
CULEY menamatkan perlumbaan di Bukit Jugra sebagai juara peringkat. — FOTO Tour de Selangor
Azlan Muhammad Zain


MARCUS Culey terus memahatkan namanya pada perlumbaan Tour de Selangor apabila memenangi tiga peringkat berturut-turut.

Teraju utama Team Sapura Cycling (TSC) itu memenangi Peringkat 1 dan 2 serta memastikan “hatrik” apabila muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat Peringkat 3 di Bukit Jugra dengan masa dua jam 2 minit 8 saat.

Tempat kedua diraih pelumba Terengganu Inc TSG dari Panama, Christofer Jurado manakala rakan sepasukan Culey, Zawawi Azman ketiga pada saingan sejauh 90.1 kilometer bermula di Cyberjaya.

“Ia pendakian yang sukar menuju garisan penamat namun rakan sepasukan memberikan yang terbaik dalam memainkan peranan mereka mengawal perlumbaan terutamanya apabila berlaku pemecahan.

CULEY (jersi kuning) bangga di podium. — FOTO Tour de Selangor
CULEY (jersi kuning) bangga di podium. — FOTO Tour de Selangor

“Saya berada dalam kondisi yang baik dan sedar ia pendakian yang sukar. Saya meletakkan diri dan mengintai peluang untuk memulakan gerakan menuju garisan penamat,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Culey selaku penyarung jersi kuning apabila mengumpul 10 jam 9 minit 5 saat, meninggalkan pencabar terdekat Loic Desriac dari Perancis yang mewakili Bikelife Dong Nai dengan perbezaan 7:07s.

Culey turut selesa menyarung jersi pecut dengan 31 mata selain jersi bukit dengan 27 mata.

Peringkat 4 akan bersambung esok dari Selayang ke Sungai Besar sejauh 144.6km membabitkan 85 pelumba daripada 18 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 7:52 PM