AZAM (kiri) terlepas aksi menentang Vietnam akibat kecederaan buku lali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZAM (kiri) terlepas aksi menentang Vietnam akibat kecederaan buku lali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HM Digital

JENERAL tengah skuad Harimau Malaya, Nor Azam Abdul Azih yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan tetap yakin rakan sepasukannya mampu meraih keputusan positif menentang Vietnam pada aksi ketiga pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, Khamis ini.

Dia yang cedera buku lali ketika aksi bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu terpaksa melupakan hasrat membantu pasukan selepas cemerlang dalam dua aksi terdahulu.

Aksi mantapnya ketika membenam Indonesia 3-2 di Gelora Bung Karno di Jakarta serta hampir mengejutkan UAE sebelum tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat pujian banyak pihak termasuk pengendali negara, Tan Cheng Hoe.

Malah, Cheng Hoe turut mengakui ketiadaan Nor Azam sedikit sebanyak menganggu perancangan pasukannya.

“Saya perlu ikut nasihat doktor pasukan kerana karier saya masih panjang lagi. Kalau tak dapat main lawan Vietnam, mungkin ada lagi perlawanan lain selepas ini.

“Saya yakin pemain lain yang dipanggil nanti boleh mengisi tempat saya dan lagipun kita ada ramai pemain yang bagus. Kalau kita ikut perancangan jurulatih tak mustahil kita boleh buat kejutan di sana ( Vietnam),” katanya.

Ketiadaan Nor Azam menyaksikan Cheng Hoe memanggil pemain Sabah, Mohd Azizan Nordin bagi mengukuhkan kekuatan pasukan di posisi tengah itu.

Jelasnya, dia juga kemungkinan terpaksa melupakan aksi separuh akhir Piala Malaysia bersama skuad Tok Gajah yang akan bertemu Kedah pada 19 Oktober ini.

Katanya, ketika ini dia tidak boleh memaksa dirinya sebaliknya perlu berhati-hati kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku ekoran sejarahnya pernah mempunyai kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lututnya.

“Saya tidak pasti sama ada sempat atau tidak beraksi untuk Pahang ketika bertemu Kedah bagi aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia nanti. Apabila berada dalam situasi sekarang, memang sukar untuk mengatakan apa-apa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:30 AM