PEMAIN Moenchengladbach bergembira selepas tamat perlawanan menentang Bayern. FOTO AFP
PEMAIN Moenchengladbach bergembira selepas tamat perlawanan menentang Bayern. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich merosot ke tangga ketujuh Bundesliga selepas jaringan penalti Ramy Bensebaini pada masa kecederaan membolehkan pendahulu, Borussia Moenchengladbach menang 2-1 ke atas juara bertahan itu , awal pagi tadi.

Dua kekalahan berturut-turut menambah tekanan ke atas Hansi Flick yang mengendalikan pasukan sehingga Januari dan diramal mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara selepas menang lima perlawanan pertama.

Bayern yang kini ketinggalan tujuh mata dalam perlumbaan kejuaraan liga berkunjung ke Borussia Park meledak jaringan sejurus babak kedua bermula menerusi Ivan Perisic tetapi pertahanan, Bensebaini menanduk masuk gol penyamaan Gladbach selepas satu jam perlawanan berlangsung.

Pemain Algeria itu kemudiannya wira tuan rumah apabila menjaringkan penalti pada masa kecederaan selepas pemain Bayern, Javi Martinez dibuang padang selepas mendapat kad kuning kedua.

Tidak seperti kekalahan 1-2 kepada Bayer Leverkusen di tempat sendiri minggu lalu, mereka patut menyalahkan diri sendiri selepas banyak melepaskan peluang menjaringkan gol.

Bayern mempunyai enam peluang terbuka pada babak pertama termasuk dua percubaan Robert Lewandowski yang tersasar.

"Saya kecewa kami kalah dua aksi terakhir walaupun kami jelas mempunyai lebih banyak peluang menjaringkan gol,” kata Flick.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:20 AM