Antara pengadil negara yang terpilih. FOTO Ihsan FB FAM.
Antara pengadil negara yang terpilih. FOTO Ihsan FB FAM.

DALAM usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan lebih pengalaman antarabangsa kepada pengadil-pengadil tempatan, beberapa pegawai perlawanan dilantik untuk dihantar bertugas pada dua kejohanan bola sepak dan futsal sepanjang Disember ini.

FAM dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam menerusi facebook berkata Pengadil FIFA, Mohd Amirul Izwan Yaacob dan Penolong Pengadil FIFA, Mohd Yusri Muhamad menerima jemputan daripada Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).

Katanya, mereka akan bertugas mengadili perlawanan kategori lelaki Pusingan Akhir Kejuaraan Bola Sepak EAFF E-1 2019 di Busan, Korea.

“Kejohanan itu yang membabitkan penyertaan empat pasukan terbaik Asia Timur iaitu Jepun, China, Hong Kong dan tuan rumah, Korea,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Widiya Habibah Shamsuri pula akan bertugas sebagai Penilai Pengadil bagi perlawanan kategori wanita dalam kejohanan tersebut yang membabitkan empat pasukan iaitu tuan rumah Republik Korea, Jepun, China dan Chinese Taipei.

Pusingan Akhir Kejuaraan Bola Sepak EAFF E-1 2019 itu akan berlangsung dari 10 hingga 18 Disember ini.

Sementara itu, pengadil futsal, Helday Idang pula menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) untuk dilantik bertugas pada Kejohanan Futsal Antarabangsa PTT Thailand Five 2019 yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 11 hingga 15 Disember ini.

Sudah tentu pelantikan pegawai-pegawai perlawanan di atas membuktikan pengadil dari Malaysia memiliki kualiti dan kredibiliti di peringkat antarabangsa dan diharap mereka dapat menjalankan tugasan masing-masing dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 11:34 AM