ADAM menang dengan catatan 19’58.355s. FOTO/NSTP
ADAM menang dengan catatan 19’58.355s. FOTO/NSTP
Agensi

ADAM Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) menyekat impian Kasma Daniel Kasmayuddin untuk meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 SuperSports 600cc Race 1 pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia 2019 di Buriram, Thailand.

Kasma yang berada di petak utama susulan kejayaan pada sesi kelayakan meluahkan hasrat untuk menghadiahkan kemenangan berganda buat pasukan Hong Leong Yamaha sebelum menyertai Kejuaraan Moto2 tahun depan.

Bagaimanapun kelebihan Kasma di petak utama tidak bertahan lama.

Sebaik perlumbaan 12 pusingan itu bermula, Peerapong Boonlert pantas merampas kedudukan pendahulu.

Pelumba pasukan Yamaha Thailand mempamer aksi mengagumkan cuba menghalang asakan Kasma dan Adam Norrodin. Biarpun mencuba beberapa kali, kedua-dua pelumba Malaysia gagal memintas pelumba Thailand itu namun tetap memberikan cabaran.

Dua pusingan sebelum tamat perlumbaan itu, Adam memulakan aksinya dengan memintas Kasma pada selekoh terakhir untuk berada di tempat kedua.

Ketika kedua-dua pelumba Malaysia itu saling merebut posisi kedua, Peerapong yang berada di depan tampak selesa tanpa tekanan.

Namun semua itu tidak bertahan lama apabila tayar depannya mengalami masalah pada selekoh terakhir pusingan terakhir.

Adam yang menghidu peluang itu memintas pada selekoh kesembilan untuk berada di depan.

Pelumba SIC Junior ZK Racing Team itu mengekalkan kedudukan untuk menang dengan catatan 19’58.355s, catatan terhebat untuk perlumbaan terakhir SIC Junior ZK Racing Team pada siri perlumbaan Asia.

Peerapong di tangga kedua manakala Kasma Daniel menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 8:31 PM