PELUMBA Moto3 SIC racing team, Adam Norrodin kembali bersaing selepas terjatuh pada perlumbaan MotoGP 2017 di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto OSMAN ADNAN
PELUMBA Moto3 SIC racing team, Adam Norrodin kembali bersaing selepas terjatuh pada perlumbaan MotoGP 2017 di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran dan Khairil S Iswan & Fadhli Ishak


PELUMBA Moto3 negara Adam Norrodin terlepas saat terbaik untuk mencipta sejarah menaiki podium di depan penyokong sendiri apabila terpaksa berpuas hati dengan penamat ke-11 pada Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia, hari ini.

Bermula di petak ke-15, pelumba SIC Racing Team itu dilihat mempunyai kelajuan yang dimahukan apabila berjaya bersaing dengan kelompok depan.

Namun pusingan ke-10 menjadi mimpi ngeri untuknya yang terjatuh di selekoh pertama ketika sedang menduduki tempat keempat dan diihat mampu mengejar tiga pelumba di depannya.

“Secara jujur ketika menduduki tempat keempat itu saya memang mahu cuba memburu podium.

“Sebab saya lihat jentera amat kompetitif sepanjang minggu dan ini peluang terbaik untuk menaiki podium.

“Saya sudah mencuba yang terbaik dan memberikan segala-galanya. Apa pun masih ada satu pusingan lagi untuk saya cuba menamatkan musim ini di kedudukan terbaik,” katanya.

Adam berkata, dia bagaimanapun tetap berpuas hati dengan keputusan itu kerana masih mampu mengutip mata.

“Minggu ini bukanlah keputusan yang teruk buat saya dan pasukan. Saya terjatuh kerana keadaan tayar semakin tidak bagus,” katanya.

Seorang lagi pelumba negara yang beraksi menerusi tiket wildcard Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS Sprinta Racing gagal menamatkan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 4:21 PM