MAHREZ (dua kanan) meledak gol kemenangan City di Etihad. — FOTO EPA
MAHREZ (dua kanan) meledak gol kemenangan City di Etihad. — FOTO EPA
Reuters

MANCHESTER City kembali meraih kemenangan apabila mengatasi Chelsea 2-1 di Stadium Etihad awal pagi tadi, menamatkan rentetan enam kemenangan berturut-turut kelab London itu dan membantu anak buah Pep Guardiola merapatkan jurang kepada sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.

Kekalahan City di Anfield sebelum rehat tugasan antarabangsa menjadikan perlawanan itu bermakna namun mereka terpaksa bekerja keras untuk memastikan tiga mata, bangkit daripada ketinggalan berdepan anak buah Frank Lampard.

Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante meletakkan pelawat di depan pada minit ke-21 namun rembatan yang terbias daripada Kevin De Bruyne (m-29) dan gol menarik Riyad Mahrez (m-37) membantu City menguasai sebelum rehat.

“Chelsea pasukan yang menakjubkan, kami sedar mengenainya tapi kami mengalahkan mereka,” kata pengurus City, Guardiola.

KANTE (kanan) menjaringkan gol pertama aksi City-Chelsea. — FOTO Reuters
KANTE (kanan) menjaringkan gol pertama aksi City-Chelsea. — FOTO Reuters

“Ia satu perlawanan tahap tinggi. Benteng pertahanan kami bertindak baik hari ini. Dalam tempoh paling sukar pada perlawanan ini kami menjaringkan gol menerusi serangan balas. Kami mencipta cukup peluang untuk menjaringkan gol lagi.”

Ia perlawanan yang mana Chelsea membuktikan sekali lagi mereka satu pasukan dengan penuh potensi namun belum cukup mantap di benteng pertahanan untuk bersaing dengan pasukan hebat.

Ketika City lega meraih tiga mata, Guardiola pasti bimbang pasukannya masih belum berada pada tahap terbaik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 7:18 AM