Hamidin (kiri) menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. FOTO Ihsan FAM
Hamidin (kiri) menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. FOTO Ihsan FAM

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan yang menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu membuka peluang buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

Tahniah juga diucapkan kepada seluruh barisan kejurulatihan, pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais bersama kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan semua pemain.

Hamidin turut merakamkan ribuan terima kasih kepada Ultras Malaya dan penyokong Harimau Malaya yang setia memberi semangat dan mendoakan skuad kebangsaan tidak kira di mana berada.

ANTARA kerusi penonton yang dirosakkan penyokong pasukan bola sepak Indonesia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANTARA kerusi penonton yang dirosakkan penyokong pasukan bola sepak Indonesia. FOTO Mohd Yusni Ariffin

"Penyokong sememangnya mengharapkan kemenangan ini dan ia umpama penutup tirai terbaik 2019 dan hadiah buat rakyat Malaysia," menurut Hamidin menerusi laman facebook FAM.

Terdahulu, Datuk Haji Hamidin berkesempatan bertemu dengan Presiden Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pertemuan ringkas menjelang saingan menentang Indonesia ini membincangkan pelbagai perkara khususnya kemajuan bola sepak antara dua negara.

"Kedua-dua negara mempunyai sejarah yang cukup lama dalam sukan bola sepak sekali gus menjadikan perseteruan di atas padang cukup unik.

"Kita harapkan Harimau Malaya dan Sang Garuda akan terus bersaing secara sihat demi kecemerlangan di peringkat antarabangsa," katanya.

Hadir sama Naib Presiden PSSI, Iwan Budianto dan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:47 AM