Syazwan Msar


JARAK penginapan skuad Harimau Malaya ke Stadium Bung Karno hanya 1 kilometer namun tempoh perjalanan tidak sampai lima minit itu dilihat kemungkinan lebih berisiko tercetusnya kekecohan hingga menggugat keselamatan pemain dan pegawai pasukan.

Oleh itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai pelan kecemasan dengan mahukan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menyediakan kereta perisai (barracuda) sebagai alternatif kepada bas walaupun persatuan bola sepak terbabit memberi jaminan keselamatan kepada pemain Malaysia.

Malah, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengesahkan ahli jawatankuasa keselamatan persatuan bola sepak induk itu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dikerahkan ke Jakarta semalam untuk memantau tahap keselamatan seterusnya memaklumkan perkembangan terkini situasi di stadium berkenaan.

“Segala kemungkinan boleh berlaku termasuk pasukan Harimau Malaya akan menaiki barracuda untuk ke stadium jika keadaan tidak terkawal atau berlaku kekecohan.

“Jika diikutkan kami tidaklah bimbang situasi di dalam stadium kerana ada ramai pegawai keselamatan termasuk anggota Polis Indonesia akan berkawal namun perjalanan pemain ke lokasi perlawanan dibimbangi tercetus provokasi atau kekecohan.

“FAM sememangnya memandang serius mengenai keselamatan dan meminta mereka(PSSI) tetap menyediakan barracuda yang sentiasa bersedia berhampiran kawasan hotel,” katanya, ketika ditemui pada majlis tahlil dan doa selamat skuad Harimau Malaya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, skuad Harimau Malaya mengharungi tiga detik ‘menakutkan’ ketika menentang Indonesia di tempat lawan sekali gus menuntut jaminan keselamatan buat skuad serta penyokong yang akan bertandang ke Jakarta dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September ini.

Dalam insiden pertama pada 2010, Malaysia terpaksa menaiki barracuda ke Stadium Bung Karno, begitu juga ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi dibawa menaiki barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Tahun lalu, pemain muda negara pula dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka dalam separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.

Sementara itu, Hamidin berkata, jawatankuasa keselamatan FAM dan polis turut memantau penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan terbabit di stadium berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada perlawanan terbabit, terdapat beberapa anggota keselamatan daripada Malaysia ditempatkan bersama penonton bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 6:19 PM
SKUAD kebangsaan gigih menjalani latihan di   Padang C, Bukit Jalil.  - FOTO Hafiz Sohaimi
SKUAD kebangsaan gigih menjalani latihan di Padang C, Bukit Jalil. - FOTO Hafiz Sohaimi