SEPAKAN Messi (tengah) terkena palang pada separuh masa pertama. — FOTO Reuters
SEPAKAN Messi (tengah) terkena palang pada separuh masa pertama. — FOTO Reuters
AFP

ERNESTO Valverde mengakui Barcelona tidak berada pada tahap terbaik selepas mereka menyusuli kekalahan dalam La Liga kepada Levante dengan seri tanpa jaringan di laman sendiri berdepan Slavia Prague dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Percubaan Lionel Messi terkena palang pada babak pertama namun itulah peluang terbaik Barca dalam persembahan buruk yang menyebabkan mereka bergelut untuk melayakkan diri dalam Kumpulan F.

“Sebelum ini kami tewas dengan Levante dan kami sedar ini juga bukanlah perlawanan terbaik kami,” kata Valverde.

“Persembahan kami tidak meyakinkan sama ada Sabtu lalu atau hari ini dan kami tahu ada banyak tekanan terhadap pasukan ketika ini. Kami perlu bertindak balas.”

REAKSI Valverde menggambarkan kekecewaan Barcelona. — FOTO EPA
REAKSI Valverde menggambarkan kekecewaan Barcelona. — FOTO EPA

Barcelona akan bertemu Dortmund di laman sendiri selepas ini dan berharap boleh melayakkan diri sebelum pertemuan terakhir menentang Inter Milan di San Siro.

Mereka tampak boleh meloloskan diri ke kelompok 16 terakhir namun tumpuan terarah kepada Valverde selepas sekali lagi memperagakan persembahan buruk sesudah tiga hari pasukannya tewas 1-3 di tangan Levante dalam La Liga.

Jika kekalahan itu disebabkan tiga gol dilepaskan dalam tujuh minit, perlawanan awal pagi tadi kurang dramatik, kawalan bola tidak menjadi di depan penyokong sendiri yang mencetuskan keadaan kurang selesa di Nou Camp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:24 AM