RONALDO (tengah) meraikan gol selepas Koulibaly (dua kanan) tertampan masuk sepakan percuma Dybala di Arena Allianz, awal pagi tadi. — FOTO AFP
RONALDO (tengah) meraikan gol selepas Koulibaly (dua kanan) tertampan masuk sepakan percuma Dybala di Arena Allianz, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

KALIDOU Koulibaly menghadiahkan Juventus kemenangan dramatik awal pagi tadi dengan gol sendiri saat akhir yang menyaksikan Napoli tewas 3-4 dalam Serie A selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menyamakan kedudukan.

Pemain kebangsaan Senegal itu secara tidak sengaja tertampan masuk sepakan percuma Paulo Dybala sekalipun tidak dicabar pada minit kedua masa kecederaan untuk memberikan Juve tiga mata di Turin dan meletakkan anak buah Maurizio Sarri di puncak carta dengan enam mata maksimum.

“Ia gol sendiri yang memedihkan kerana ia hadir selepas satu kebangkitan menakjubkan,” tulis Koulibaly dalam Twitter selepas perlawanan itu.

“Saya minta maaf tapi saya terpaksa – kami terpaksa menerimanya: kami kuat. Kami sudah mempamerkannya. Kami akan membuktikannya.”

HIGUAIN (dua kanan) menjaringkan gol kedua Juve di Turin. — FOTO Reuters
HIGUAIN (dua kanan) menjaringkan gol kedua Juve di Turin. — FOTO Reuters

Kesilapan Koulibaly tidak membantu perjuangan Napoli yang bangkit kurang setengah jam terakhir, dengan gol Danilo selepas hanya 20 saat masuk sebagai pemain gantian, Gonzalo Higuain – kembali di Juventus selepas beraksi secara pinjaman di AC Milan dan Chelsea – serta Cristiano Ronaldo pada minit ke-61 memberikan juara bertahan itu apa yang dilihat pendahuluan selesa.

Namun dua gol dalam tempoh dua minit sumbangan Kostas Manolas dan Hirving Lozano tidak lama selepas Ronaldo menjadikan kedudukan 3-0 menghidupkan semula cabaran Napoli dan Giovanni Di Lorenzo menceriakan penyokong pelawat dengan penyudah jarak dekat untuk mencetus debaran sembilan minit terakhir.

Bagaimanapun ketika satu mata kelihatan berada dalam genggaman, mimpi ngeri Koulibaly mengecewakan anak buah Carlo Ancelotti, yang tewas 3-4 selepas menang dengan keputusan sama di Fiorentina hujung minggu lalu.

“Ia bagaikan roller-coaster. Kami hilang kawalan permainan dan terganggu, jadi mereka berjaya menyamakan kedudukan, mujurlah akhirnya kami masih menang,” kata Higuain, yang memperdaya Koulibaly sebelum merembat masuk gol kedua Juve.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 8:15 AM