RONALDO (tengah) menyumbang dua gol buat Juve. — FOTO Reuters
RONALDO (tengah) menyumbang dua gol buat Juve. — FOTO Reuters
AFP

CRISTIANO Ronaldo meledak dua gol ketika Juventus menewaskan Udinese 3-1 untuk menyertai Inter Milan di puncak Serie A awal pagi tadi selepas pasukan kendalian Antonio Conte diikat 1-1 di Fiorentina.

Dusan Vlahovic meraih satu mata buat Fiorentina pada minit kedua masa kecederaan untuk mengecewakan Inter Milan yang mendahului susulan gol pembukaan Borja Valero selepas lapan minit di Tuscany.

Kedua-dua Juventus dan Inter Milan mengumpul 39 mata selepas 16 perlawanan dengan anak buah Conte mendahului menerusi perbezaan gol.

Ronaldo menyumbat dua gol pada babak pertama untuk mengumpul lima gol dalam empat perlawanan ketika juara bertahan kembali mencetak kemenangan selepas kekalahan pertama musim ini di tangan Lazio hujung minggu lalu.

BONUCCI (kanan) meraikan gol ketiga bersama rakan sepasukan. — FOTO Reuters
BONUCCI (kanan) meraikan gol ketiga bersama rakan sepasukan. — FOTO Reuters

“Itulah caranya kami patut bermain, dengan keyakinan,” kata Ronaldo.

Bintang Portugal itu menampan masuk bola percubaan Paulo Dybala selepas sembilan minit di Stadium Allianz dan meluru pantas untuk menyudahkan hantaran silang Gonzalo Higuain pada minit ke-36.

Leonardo Bonucci memastikan tiga mata sejurus sebelum rehat apabila dia menanduk masuk dari jarak dekat.

Ignacio Pussetto membalas satu gol buat Udinese yang menghuni tangga ke-17 pada minit keempat masa kecederaan dengan percubaan jarak dekat yang mengatasi Gianluigi Buffon di pintu gol Juventus.

“Ia kali pertama selepas perlawanan Liga Juara-Juara kami berjaya menyerang dengan baik,” kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri. “Kami bermain amat bagus selama 60 minit.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:45 AM