KATARINA meraikan kejayaannya merangkul emas heptatlon selepas acara terakhir 800m. — FOTO EPA
KATARINA meraikan kejayaannya merangkul emas heptatlon selepas acara terakhir 800m. — FOTO EPA
Reuters

KATARINA Johnson-Thompson merangkul emas heptatlon dengan catatan terbaik tahun ini selepas mengatasi cabaran juara bertahan Nafissatou Thiam awal pagi tadi untuk menghadiahkan Britain emas kedua pada Kejohanan Dunia di Doha.

Atlet berusia 26 tahun itu menamatkan kempen 304 mata di depan Nafissatou dari Belgium, yang tidak kalah selama tiga tahun dalam acara itu, dengan Verena Preiner dari Austria meraih gangsa.

Selepas mendahului pada hari pertama pertandingan, Katarina mengukuhkan kelebihannya dengan catatan 6.77 meter dalam lompat jauh - catatan terbaik pernah dilakukan dalam acara heptatlon - untuk mendahului 216 mata di depan Nafissatou.

Atlet Belgium itu mendahului seketika selepas acara melontar peluru namun kedudukannya tidak kekal selepas Katarina melakukan catatan terbaik musim ini 23.08 saat dalam acara 200m.

KATARINA beraksi dalam acara lompat jauh di Stadium Antarabangsa Khalifa. — FOTO Reuters
KATARINA beraksi dalam acara lompat jauh di Stadium Antarabangsa Khalifa. — FOTO Reuters

Selepas catatan terbaik peribadi 43.93m dalam acara merejam lembing, Katarina berdepan acara terakhir 800m dengan kelebihan 137 mata di depan lawannya.

Dia memastikan emas dengan masa 2 minit 07.26 saat, melonjakkan kutipan matanya kepada catatan terbaik tahun ini 6,981 sekali gus memecah rekod Britain dirakam Jessica Ennis-Hill ketika dia menang emas pada Sukan Olimpik London 2012.

“Dua hari ini berlalu begitu pantas dan kerana ia berakhir pada sebelah malam ia sebenarnya bagaikan satu mimpi,” kata Katarina kepada BBC.

“Saya hanya cuba bersaing, cuba melakukan yang terbaik. Saya hanya cuba mengalahkan diri sendiri. Saya fikir saya menemui formula yang menjadi. Saya hanya mahukan lebih lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 2:46 PM