Oltmans (tengah) bersama skuad kebangsaan. FOTO MHC
Oltmans (tengah) bersama skuad kebangsaan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


KEPUTUSAN kurang memberangsangkan sepanjang empat perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan tidak sedikit pun mencetuskan resah kepada ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans.

Tegas pengendali dari Belanda itu, rekod satu menang dan seri serta dua kekalahan kepada Korea bukanlah penanda aras sebenar skuad negara menjelang aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo bertemu Britain di London pada 2 dan 3 November depan.

"Saya lihat orang Asia terutamanya hanya mementingkan soal keputusan perlawanan. Tetapi saya melihatnya dengan cara berbeza sekali.

"Contohnya ketika pasukan negara tewas 0-2 ada beberapa pemain utama tidak beraksi.

Saya tidak mahu mengambil risiko dengan meletakkan pemain utama," katanya. Jelas Oltmans, paling penting untuknya ialah skuad negara akan berada pada prestasi sebenar ketika aksi play off nanti.

"Keputusan yang paling penting adalah pada 2 dan 3 November nanti, bukannya pada aksi perlawanan persahabatan.

"Setiap pemain seharusnya berada pada tahap terbaik ketika itu," katanya ketika ditemui semalam.

Kedua-dua perlawanan itu adalah peluang terakhir untuk skuad negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:20 PM