AKSI Zii Jia ketika menentang Momota di Incheon, hari ini. - FOTO EPA
AKSI Zii Jia ketika menentang Momota di Incheon, hari ini. - FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Dua pukulan kilas deras dan mendapat pujian peminat badminton negara tidak dapat memadamkan kekecewaan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang kalah buat kali keempat berturut-turut di tangan Kento Momota.

Saingan suku akhir Terbuka Korea menjadi saksi bahawa badi Zii Jia ke atas pemain Jepun itu masih belum berakhir selepas kalah 15-21, 19-21.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-16 dunia jelas kecewa dengan kekalahan kepada pilihan utama kejohanan itu.

“Saya sudah cuba yang terbaik hari ini dan saya tidak gembira. Memang ada yang mengatakan saya bermain baik tapi saya kurang berpuas hati dengan prestasi hari ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pemain kelahiran Kedah itu mengakui jurang antaranya dengan Momota masih terlalu jauh.

“Apa yang perlu saya lakukan ialah terus berlatih dengan gigih, hanya itu saja dapat merapatkan jurang saya dengannya. Itu sasaran saya selepas ini, memang ia bukan mudah namun saya akan bekerja keras agar ia mampu dicapai,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Kali pertama Zii Jia kalah kepada Momota ialah di separuh akhir Terbuka Republik Czech dua tahun lalu, sebelum tumbang lagi di suku akhir Piala Sudirman Mei lalu.

Momota melakar kemenangan hatrik ke atas Zii Jia di suku akhir Kejohanan Dunia Ogos lalu dan terkini di suku akhir Terbuka Korea dengan kesemua empat perlawanan berakhir dengan keputusan straight set.

Sementara itu, langkah beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga tersekat selepas tewas 18-21, 21-18, 18-21 ketika berdepan wakil tuan rumah, Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:57 PM