Penyerang Levante, Hernani Fortes (kiri) menghalang pemain Sevilla pada aksi La Liga. FOTO AFP
Penyerang Levante, Hernani Fortes (kiri) menghalang pemain Sevilla pada aksi La Liga. FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Sevilla, Luuk de Jong meledak gol pertama buat kelabnya untuk kemenangan tipis 1-0 di gelanggang sendiri ke atas Levante awal pagi ini dalam saingan La Liga Sepanyol untuk berada kedudukan sama mata dengan pasukan di tangga keempat Real Sociedad.

Pemain Belanda itu gagal menemui penyudah dalam tujuh penampilan kesebelasan utama sebelum ini buat Sevilla sejak menyertai kelab Sepanyol itu dari PSV Eindhoven.

Dia kemudian diketepikan di bangku simpanan ketika berdepan Levante selepas terlepas banyak peluang menjaringkan gol ketika pasukannya tewas 4-0 di Barcelona.

Dia dibawa masuk ketika permainan berbaki 18 minit ketika barisan kendaliannya terdesak untuk mencatat kemenangan selepas gagal menyempurnakan banyak peluang dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila menolak mudah hantaran Jesus Navas pada minit ke-86.

Luuk de Jong (tengah) meraikan jaringannya. FOTO EPA
Luuk de Jong (tengah) meraikan jaringannya. FOTO EPA

Penyerang Mexico, Javier Hernandez terlepas peluang menjaringkan gol pembukaan sebelum De Jong meledak, melakukan rembatan dari sudut dekat selepas tayangan VAR menafikan jaringannya pada separuh masa pertama.

Kemenangan itu membolehkan barisan kendalian Julen Lopetegui berada di kedudukan keenam dalam La Liga dengan 16 mata selepas sembilan perlawanan, menyamai mata Real Sociedad di kedudukan keempat dan Atletico Madrid kelima. Barcelona mendahului carta dengan 19 mata.

Sociedad bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Real Betis 3-1 semalam manakala Atletico seri 1-1 di gelanggang sendiri berdepan Valencia pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:45 AM