AFP

Madrid: Real Sociedad muncul juara Piala Raja Sepanyol buat kali ketiga selepas menundukkan seteru utama Athletic Bilbao 1-0 pada final yang ditunda dari musim lalu.

Mikel Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan buat Real Sociedad pada final 2020 yang tertangguh dan mendedikasikan kemenangan itu kepada penyokong yang tidak dapat hadir menyaksikan final bersejarah itu.

Oyarzabal kapten La Real yang menyertai akademi remaja kelab itu pada usia 14 tahun menjaringkan gol kemenangan 1-0 di Seville yang berlangsung tanpa kehadiran penonton.

"Hari yang luar biasa," kata Oyarzabal.

"Anda mengingati semua orang. Semua orang yang suka berada di sini. Mereka yang meninggalkan kita. Ini untuk semua orang, keluarga, rakan-rakan saya. Ia amat bererti."

JURULATIH Real Sociedad, Imaol Alguacil diraikan orang barisan pemain selepas pasukan itu muncul juara Piala Raja Sepanyol. FOTO EPA
JURULATIH Real Sociedad, Imaol Alguacil diraikan orang barisan pemain selepas pasukan itu muncul juara Piala Raja Sepanyol. FOTO EPA

Jaringan Oyarzabal membolehkan Real Sociedad memenangi trofi Piala Raja Sepanyol pertama mereka dalam tempoh 34 tahun sekali gus menafikan Athletic Bilbao daripada merangkul kejuaraan ke-24 mereka.

Bagaimanapun Athletic berpeluang memburu gelaran ke-24 itu dalam tempoh dua minggu lagi pada final musim ini bertemu Barcelona di gelanggang sama.

Final musim lalu itu ditunda dengan harapan ia dapat dihadiri penonton, sebaliknya ia terpaksa dilangsungkan jauh di Seville dengan hanya 350 tetamu serta wartawan dibenarkan masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 10:28 AM