AZROY.
AZROY.
Saiful Affendy Sapran


PELUANG acara angkat berat untuk dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Sukma, Khamis depan.

Ia selepas ujian doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) Julai lalu didapati negatif.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia satu perkembangan yang positif namun status acara itu di Sukma Johor hanya akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan.

"Kami akan bawa perkembangan yang baik ini kepada Majlis Tertinggi Sukma untuk diperhalusi dan dibincangkan bersama sebelum membuat keputusan muktamad berkenaan penyertaan angkat berat di Sukma Johor.

"Nampak peluang lebih baik tapi saya tak boleh putuskan secara berseorangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan atlet Program Podium hari ini.

Lima atlet angkat berat yang menjalani ujian pada 31 Julai itu ialah atlet senior, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.

Sukan angkat berat sebelum ini berstatus 'KIV’ (simpan dalam perhatian) untuk temasya Sukma di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 1:56 AM