ANTARA penyokong Harimau Malaya yang memenuhi Bukit Jalil, hari ini. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANTARA penyokong Harimau Malaya yang memenuhi Bukit Jalil, hari ini. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


PERTEMBUNGAN antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diadakan pada hari bekerja tidak menjejaskan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya apabila Stadium Nasional, Bukit Jalil dibanjiri dengan warna kuning hitam.

Biarpun pada awalnya jualan tiket dilihat perlahan dengan 21,000 dijual di dalam talian, jumlah itu semakin meningkat terutamanya selepas jam 5 petang sebaik habis waktu bekerja.

Dianggarkan kira-kira 40,000 penyokong hadir untuk menyaksikan aksi kedua skuad negara dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini.

Khamis lalu, anak buah Tan Cheng Hoe menang 3-2 ke atas Indonesia pada aksi sulung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

PENYOKONG Harimau Malaya hadir ke stadium walaupun hari bekerja. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
PENYOKONG Harimau Malaya hadir ke stadium walaupun hari bekerja. — FOTO Mohd Yusni Ariffin

Apa yang pasti, jumlah kehadiran itu jelas menunjukkan semangat penyokong Harimau Malaya tidak pernah luntur biarpun mungkin terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas.

Malam ini Bukit Jalil dikuasai ‘Harimau Malaya’ apabila setiap ruang dipenuhi penyokong Malaysia dengan sorakan tidak pernah berhenti sejak sebelum permainan bermula terutama laungan kumpulan Ultras Malaya.

Tidak cukup dengan itu, kain rentang ‘Jangan Gentar Kita Lawan’ turut kelihatan di kem Ultras Malaya dan ia sudah pasti menjadi salah satu pemangkin semangat buat pemain.

Di sebalik puluhan ribu penyokong Harimau Malaya, terselit juga kumpulan kecil penyokong The Whites sekali gus menambahkan lagi kemeriahan perlawanan kedua-dua pasukan.

PETUGAS mengimbas tiket masuk penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETUGAS mengimbas tiket masuk penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Pelawat yang tidak bermain minggu lalu sudah tentu mahu meraih mata untuk memulakan kempen dengan langkah kanan manakala tuan rumah pula ingin menambah pungutan mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Selain misi menang, anak buah Cheng Hoe juga membawa satu lagi misi untuk membalas dendam kekalahan 0-10 di Abu Dhabi pada saingan sama empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 8:51 PM