TORRES (kiri) menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Barca, Marc-Andre Ter Stegen awal pagi tadi. — FOTO AFP
TORRES (kiri) menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Barca, Marc-Andre Ter Stegen awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde mengkritik pasukannya selepas seri 2-2 dengan Osasuna di laman lawan awal pagi tadi, menyatakan beliau tidak faham kenapa mereka tidak menang perlawanan itu selepas mendahului 2-1.

Juara bertahan itu tampil tanpa kapten Lionel Messi, Luis Suarez serta Ousmane Dembele dan ketinggalan susulan rembatan voli Roberto Torres pada awal permainan.

Mereka mengubah kedudukan pada babak kedua menerusi jaringan sulung pemain berusia 16 tahun Ansu Fati – yang muncul penjaring gol termuda kelab itu dalam liga – dan Arthur Melo, namun Osasuna, yang mendapat sokongan padu penyokong mereka enggan mengalah.

Tuan rumah, yang kembali naik divisyen musim lalu selepas dua tahun menghilang, terus menekan Barca dan mereka menyamakan kedudukan sembilan minit sebelum tamat apabila Torres menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kerana Gerard Pique memegang bola.

ANSU Fati (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium El Sadar. — FOTO EPA
ANSU Fati (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium El Sadar. — FOTO EPA

“Kami langsung tidak bermain, kami memang teruk,” kata Valverde kepada wartawan selepas pasukannya hanya mengutip empat mata daripada tiga aksi pertama.

“Mereka mendahului dan kami tidak mampu menghampiri kawasan mereka. Kemudian kami mendominasi babak kedua, kami mendahului tapi mereka kembali dan menyamakan kedudukan menerusi penalti melucukan itu.

“Kami tidak boleh membiarkan perlawanan sebegini disia-siakan, kami perlu lebih mendesak di padang dan berterusan menyerang.”

Pertahanan Barca, Pique berasakan penalti itu seharusnya tidak diberikan ketika bola melantun ke tangannya ketika dia cuba menghalang satu hantaran lintang.

“Bagi saya ia bukannya penalti, saya tidak sempat untuk mengelak tangan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 9:30 AM