SAFAWI Rasid.
SAFAWI Rasid.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Walaupun dia kini memiliki status bintang, Safawi Rasid tidak melihat faktor itu sebagai tiket untuknya menempatkan diri dalam kesebelasan utama apatah lagi semua pemain yang dipanggil mempunyai kelebihan tertentu.

Bagi Safawi, semua yang menyertai kem latihan pusat kali ini mempunyai ‘aset’ untuk menarik perhatian pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Malah, ketiadaan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh di bahagian serangan akibat penggantungan turut tidak memberi erti kepadanya apabila posisi berkenaan boleh diisi beberapa pemain lain yang turut cemerlang.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, fokusnya kini adalah memberikan persembahan terbaik dan mengekalkan momentum demi pasukan kebangsaan.

“Walaupun Sumareh tiada, ada pemain lain seperti Akhyar Rashid, Hadin Azman dan Shahrel Fikri Fauzi yang turut berpotensi mengisi kekosongan di posisi berkenaan.

“Jika diikutkan, kami sudah biasa menentang pasukan yang lebih kuat dan mungkin tidak berdepan masalah besar untuk bertemu Jordan cuma pemain perlu menunjukkan semangat juang tinggi.

“Pada saya sebagai pemain, setiap perlawanan adalah penting dan perlu fokus selain memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan keputusan positif,” katanya dalam sidang media perlawanan persahabatan Malaysia menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Safawi yang beraksi di bahagian serangan, sudah meledak 13 gol bersama JDT sekali gus muncul antara pemain yang menjadi harapan Harimau Malaya untuk merobek gawang lawan pada mana-mana perlawanan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu tetap merendah diri dengan melihat kejayaan pasukan adalah kerjasama semua pihak.

“Kejayaan bukan hanya terletak pada individu namun kerjasama semua pemain dan keupayaan bermain mengikut taktikal yang diterapkan oleh jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:30 AM