REEZAL Merican mengingatkan kepada kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abd Radzak supaya memimpin pasukan dengan baik. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
REEZAL Merican mengingatkan kepada kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abd Radzak supaya memimpin pasukan dengan baik. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Safawi dan Sumareh, Hangpa jangan buat drama lebih-lebih dekat padang, pening kepala, sakit jantung jurulatih Tan Cheng Hoe tu".

Itu peringatan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada dua tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh supaya kurang berlakon ketika menentang tuan rumah Emeriah Arab Bersatu (UAE) bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 awal pagi nanti.

Namun, ucapan secara berseloroh Reezal itu sebenarnya merujuk kepada insiden pergaduhan rupa-rupanya lakonan dari dua pemain terbabit untuk memberi kejutan buat Cheng Hoe sempena hari lahirnya baru-baru ini.

Selain itu, Menerusi ucapan video berdurasi 2 minit 31 saat itu, Reezal turut mengingatkan kepada kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abd Radzak supaya memimpin pasukan dengan baik selain meminta penjaga gol negara Farizal Marlias pertahankan gawang daripada dibolosi.

"Saya doakan anda semua kekal cergas dan mental fit untuk game(perlawanan) malam ini, saya pasti persiapan rapi sudah dibuat kerana saya lihat setiap hari dimuat naik di laman Instagram Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)…paling banyak saya tengok Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Saya gembira semua berlatih dalam keadaan baik walaupun dalam keadaan batas akibat pandemik Covid-19. Siapa pun yang dibariskan malam ini, lakukan dengan yang terbaik.

"Kepada Aidil Zafuan sebagai kapten, lead the team, penjaga gol Farizal Marlias pertahankan baik-baik, begitu juga dengan semua pemain sandaran kita iaitu Safawi, Matthiew Davies, Sumareh, De Paula dan semualah yang saya tidak mampu untuk sebut satu persatu," katanya.

Sementara itu, Reezal juga meminta penyokong bola sepak tanah air terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya seterusnya dapat mencipta kejayaan pada perlawanan seterusnya.

Malah, bagi menyemarakkan lagi semangat dan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya, Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut mengajak peminat untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Katanya, 30 penyokong bertuah dengan komen yang paling kreatif dan mendapat paling banyak like di laman sosial rasmi Reezal Merican Naina Merican akan memperoleh hadiah jersi Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 9:04 PM