SKUAD ragbi lelaki dan wanita Johor yang beraksi pada temasya SUKMA Perak 2018. — FOTO Rizar Mohd Noor
SKUAD ragbi lelaki dan wanita Johor yang beraksi pada temasya SUKMA Perak 2018. — FOTO Rizar Mohd Noor
BERNAMA

KESATUAN Ragbi Johor (JRU) meletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

Presidennya Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, sasaran itu diperkuatkan lagi apabila Johor menjadi tuan rumah temasya dwitahunan yang memasuki edisi ke-20.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat mengenal pasti pemain berpotensi serta bakat baharu sebelum memuktamadkan pasukan negeri awal tahun depan.

Menurutnya, pencarian itu turut membabitkan skuad ragbi wanita yang akan beraksi kali kedua selepas membuat kemunculan sulung pada temasya di Perak tahun lalu.

“Buat masa ini kami sedang mengenal pasti bakat baharu yang datang dari sekolah sukan di negeri ini antaranya Sekolah Sukan Tun Hussein Onn di Kluang.

“Mereka kebanyakannya bukan main ragbi tapi kami tarik mereka masuk ragbi, antaranya atlet olahraga, angkat berat, memanah, bola jaring dan hoki,” katanya.

Noorazam berkata, langkah itu dilakukan kerana beliau percaya setiap atlet yang berpotensi mempunyai kekuatan masing-masing dan boleh dilentur dalam sukan ragbi.

Sementara itu, bagi skuad ragbi lelaki pula, beliau berkata, antara atlet yang akan dipilih mewakili Johor pada SUKMA 2020 termasuk mereka yang beraksi bersama skuad negara yang muncul juara pada Kejohanan Ragbi Asia 7s Bawah 18 di Kunming, China, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:02 PM