SERENA membalas pukulan Maria pada pusingan pertama Terbuka AS di Flushing Meadows. — FOTO Reuters
SERENA membalas pukulan Maria pada pusingan pertama Terbuka AS di Flushing Meadows. — FOTO Reuters
AFP

SERENA Williams memulakan kempen memburu gelaran perseorangan Grand Slam ke-24 dengan membelasah pemenang lima kejuaraan utama Maria Sharapova 6-1, 6-1 sebelum layak ke pusingan kedua kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat di New York, hari ini.

Serena memerlukan hanya 59 minit untuk menyingkirkan musuh ketat dari Russia itu, memperbaiki rekod sepanjang zaman kepada 20-2 menentang Maria dengan kemenangan ke-19 berturut-turut buatnya.

“Bila mana saya bermain menentangnya, saya berjaya mempamerkan aksi tenis terbaik,” kata Serena. “Dia seorang pemain yang bagus. Apabila anda bermain menentangnya anda perlu lebih fokus.”

Serena, yang akan berdepan pemain wildcard AS ranking ke-121 dunia, Caty McNally, membenam lima servis ‘ace’ dan 16 pukulan ‘winner’ ketika Maria melakukan 20 ‘unforced error’ di Stadium Arthur Ashe.

MARIA melakukan servis ketika menentang Serena di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King USTA. — FOTO Reuters
MARIA melakukan servis ketika menentang Serena di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King USTA. — FOTO Reuters

Pemain AS berusia 37 tahun itu, yang memburu kejuaraan Terbuka AS kali ketujuh, turut mengintai untuk menyamai rekod 24 gelaran perseorangan Slam sepanjang zaman milik Margaret Court.

Maria, juara Terbuka AS 2006 yang mengalahkan Serena pada final Wimbledon 2004, mengejutkan Simona Halep pada pusingan pertama dua tahun lalu namun dia tidak mampu mengulangi magis itu.

Serena berkata, sebaik dia mengetahui akan berdepan Maria pada aksi pertama, “setiap latihan selepas itu diberi tumpuan lebih.”

“Badan saya OK,” katanya. “Keadaan belakang saya juga lebih baik. Saya teruja. Pasti ini sesuatu yang menyeronokkan.”

TYSON (kanan) antara selebriti yang hadir menonton aksi Serena-Maria. — FOTO AFP
TYSON (kanan) antara selebriti yang hadir menonton aksi Serena-Maria. — FOTO AFP

Ia perlawanan pertama Serena di Ashe sejak dia bergaduh dengan pengadil Carlos Ramos pada final Terbuka AS tahun lalu apabila beliau menghadiahkan mata penalti kepada pemenang Naomi Osaka.

Ramos tidak akan mengadili mana-mana perlawanan Serena pada Terbuka AS tahun ini.

“Saya berdepan banyak perlawanan sukar dan banyak kekalahan memeritkan tapi hadir ke sini malam ini memang berbaloi,” kata Serena ketika berterima kasih kepada penonton, yang turut dihadiri selebriti seperti Spike Lee dan Mike Tyson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 10:32 AM