LUKAKU (kiri) menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua di Arena Sardegna, Cagliari, awal pagi tadi. — FOTO EPA
LUKAKU (kiri) menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua di Arena Sardegna, Cagliari, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

BOLA sepak Itali menyaksikan satu lagi insiden perkauman awal pagi tadi ketika Romelu Lukaku menjadi sasaran laungan seperti monyet sebelum meletakkan Inter Milan di puncak Serie A dengan penalti kemenangan 2-1 di Cagliari.

Lukaku – yang dibeli dengan harga 65 juta euro (RM300 juta) dari Manchester United pada musim panas ini – bersedia untuk mengambil sepakan penalti pada minit ke-71 di Sardinia apabila laungan perkauman didengari di kawasan penonton yang berterusan selama beberapa saat.

Pemain kebangsaan Belgium berusia 26 tahun itu memandang ke arah penonton dengan marah sebelum menyempurnakan gol keduanya dalam dua perlawanan, yang hadir selepas gol pembukaan Lautaro Martinez pada minit ke-28 buat anak buah Antonio Conte dan gol penyamaan Joao Pedro buat tuan rumah empat minit selepas rehat.

Lukaku pantas dikerumuni rakan sepasukannya ketika Inter Milan menang aksi kedua daripada dua aksi liga untuk mendahului di depan juara bertahan Juventus, yang turut mengutip mata maksimum selepas menang 4-3 ke atas Napoli, kelmarin.

MARTINEZ (dua kanan) menanduk masuk gol pertama Inter. — FOTO EPA
MARTINEZ (dua kanan) menanduk masuk gol pertama Inter. — FOTO EPA

Cemuhan berbentuk perkauman membelenggu stadium Itali sejak beberapa tahun terakhir, dengan penyerang Itali, Moise Kean turut menjadi mangsa – di samping rakan sepasukan Blaise Matuidi – di Cagliari selepas dia menjaringkan gol di sana ketika bersama bekas pasukannya Juventus, April lalu.

Kalidou Koulibaly turut dihujani dengan laungan seperti monyet musim lalu oleh penyokong baharu Lukaku di San Siro, manakala beberapa pemain berkulit hitam lain turut menjadi sasaran.

“Saya tidak dengar (laungan itu),” kata Conte. “Bagaimanapun saya boleh bercakap secara umum: saya fikir kami perlu memperbaikinya di Itali, hormati setiap orang.

“Apabila saya bekerja di luar negara, penyokong akan menyorak pasukan mereka, tidak menghabiskan sepanjang masa menghina lawan. Saya OK di sini, tiada siapa menghina saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:55 AM