LUKAKU (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
LUKAKU (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Milan: Romelu Lukaku meletakkan Inter Milan semakin hampir untuk merangkul kejuaraan liga buat kali pertama selepas lebih sedekad apabila menjaringkan gol serta menjadi arkitek kepada gol Lautaro Martinez ketika melakar kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Inter kini menduduki tangga teratas Serie A dengan berkelebihan 11 mata.

Juara bertahan, Juventus pula menduduki tempat ketiga, ketinggalan 12 mata berbanding Inter, selepas menewaskan Napoli 2-1 menerusi gol sumbangan Paulo Dybala dan penjaring terbanyak liga, Cristiano Ronaldo.

Kedua-dua perlawanan itu dilangsungkan semula berikutan pandemik Covid-19 membabitkan Inter bulan lalu dan Napoli awal Oktober tahun lalu.

Lukaku menanduk masuk hantaran Ashley Young untuk gol peribadi ke-21 pada saingan liga selepas 10 minit permainan di San Siro sebelum dia membantu Lautaro menjaringkan gol kedua pada pertengahan babak kedua.

Hamed Junior Traore merapatkan jurang untuk pelawat ketika permainan berbaki lima minit namun masih tidak dapat menafikan kemenangan ke-10 berturut-turut Inter di saingan liga sekali gus mengukuhkan impian mereka untuk merangkul kejuaraan liga.

Skaud bimbingan Antonio Conte berada di landasan tepat untuk menjulang gelaran Serie A buat kali ke-19 dan yang pertama sejak 2010.

Impian Juventus untuk memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut terjejas selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir liga ketika bertemu pasukan bawahan, Benevento dan Torino.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 8:49 AM