Zii Jia jadi taruhan negara. FOTO File NSTP
Zii Jia jadi taruhan negara. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yakin semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan sedia berentap menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland bermula esok.

Menurutnya, setakat ini pemain negara sudah membiasakan diri dengan keadaan gelanggang dan masing-masing berasa selesa untuk memulakan aksi terutama perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

“Saya harap mereka cepat mendapatkan rentak dan bersedia untuk berjuang walaupun jadual mereka memulakan aksi berbeza,” katanya.

Menurutnya, setiap bahagian mempunyai program dan persediaan mereka tersendiri sebaik menjejakkan kaki di Basel.

Bakal turun ke gelanggang esok ialah Zii Jia yang akan berdepan wakil Brazil, Ygor Coelho, manakala Yew Sin-Ee Yi pula menentang pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Volker.

“Pada permulaan perlawanan pertama ini, saya harap Zii Jia mampu mencapai tahap ke 90 peratus.

Dia perlu biasakan diri dengan gelanggang dan sedia menyerap tekanan pemain lawan.

“Bagi Yew Sin-Ee Yi pula saya lihat mereka memberikan aksi terbaik dalam dua kejohanan terakhir. Saya sudah berbincang dengan mereka bahawa mereka harus mempunyai tahap kesabaran tinggi ketika berada di dalam gelanggang dan percaya diri sendiri,” katanya.

Turut turun ke gelanggang adalah pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren.

Tahun lalu Daren melakar kejutan apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:32 PM