Yew Sin, Ee Yi tewaskan beregu China di separuh akhir. FOTO BAM
Yew Sin, Ee Yi tewaskan beregu China di separuh akhir. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mampu menamatkan penantian dua tahun tanpa sebarang kejuaraan selepas mara ke final Terbuka Australia.

Ee Yi-Yew Sin yang diletakkan sebagai pilihan keenam terpaksa berhempas-pulas dalam aksi separuh akhir sebentar tadi sebelum menumbangkan pasangan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.

Selepas tumbang 14-21 di set pertama, Yew Sin-Ee Yi bangkit dalam aksi sejam 12 minit itu dengan mencatat kemenangan 14-21, 21-17, 21-18 di State Sports Centre di Sydney.

Bagaimanapun, untuk menamatkan kemarau kejuaraan mereka perlu menumbangkan pilihan kelapan esok juga dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang sebelum itu mengalahkan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 12-21, 23-21, 24-22.

Kali terakhir Yew Sin-Ee Yi merasai nikmat kejuaraan di Masters Thailand pada Januari 2020 apabila mengalahkan Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-17,21-17 di final.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk mara ke final tidak kesampaian selepas tersingkir di separuh akhir.

Pemain berusia 22 tahun itu terpaksa akur apabila tewas di tangan bintang meningkat naik dari China, Lu Guang Zu 18-21, 15-21.

Kemenangan menyaksikan Guang Zu yang menewaskan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pada pusingan kedua Khamis lalu akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara rakan senegara, Shi Yuqi dengan Kodai Naraoka dari Jepun bagi perebutan gelaran juara esok.

Bagi Tze Yong, pencapaian ke separuh akhir membuka ruang untuk mencapai sasarannya untuk berada dalam kelompok ranking 32 terbaik dunia hujung tahun ini.

Ketika ini, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berada di kedudukan ke-33 dunia.

Tze Yong wajib berada dalam kelompok 32 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan dia beraksi dalam kejohana bertaraf Super 1000 tahun depan termasuklah Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 3:48 PM