ANDY Murray tinggalkan acara beregu hari ini. FOTO Agensi
ANDY Murray tinggalkan acara beregu hari ini. FOTO Agensi
AFP

SELEPAS beberapa bulan beraksi dalam acara beregu sepanjang proses pemulihan pembedahan pinggul Januari lalu, Andy Murray berkata hari ini bahawa penyertaannya dalam acara itu sudah berakhir.

Murray dan Feliciano Lopez tewas pada aksi suku akhir beregu lelaki Masters Cincinnati di mana pemain berusia 32 tahun itu terpaksa menentang abangnya Jamie yang bergandingan sengan seorang lagi pemain Britain Ken Skupski dengan keputusan 6-7 (5/7), 7-5, 10-4.

“Sukar bermain menentang Jamie,” kata Murray selepas menentang abangnya dalam acara beregu buat kali kedua sepanjang kariernya.

“Ia bukan perlawanan yang menyeronokkan, suasananya terasa hambar tetapi ia sesuatu yang baik, saya gembira Jamie berjaya mara.”

Murray, juara Grand Slam tiga kali yang bimbang kariernya mungkin tamat sebelum pembedahan pinggul, mula bermain dalam acara beregu pada kejohanan Queen’s Club pada Jun, menang acara gelanggang rumput itu bersama Lopez.

Katanya hari ini, dia memutuskan untuk tidak menyertai acara beregu dalam usaha kembali ke acara perseorangan.

Dia sudah mula merasai kemungkinan selepas kepulangannya apabila tewas seawal pusingan pertama di Cincinnati kepada Richard Gasquet.

Murray menerima tiket wild card untuk undian acara perseorangan di kejohanan ATP di Winston-Salem minggu depan tetapi dia tidak akan menyertai acara perseorangan di Terbuka AS di mana dia perlu bertarung dalam lima set untuk menentukan kemenangan.

“Saya perlukan beberapa hari untuk persiapan,” kata Murray yang merancang untuk pergi ke North Carolina secepat mungkin.

“Saya dengar gelanggang di sana memerlukan saya bergerak pantas dan mereka menggunakan bola yang lain jadi saya mahu berlatih supaya dapat membiasakan diri.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 12:00 PM